1
Salam ihklas kuhulurkan buat sukma yang merantai perasaan. Sudah lama benar rasanya tidak kubicara bersama atma yang kadang-kala sengaja aku biarkan berkata-kata sendirian. Kasihan aku padamu wahai hati kerana sentiasa dibelenggu perasaan gusar yang bertali arus. Maafkan diri ini kerna selalu memungkiri janji yang pernah terdetik. Rasa bersalah sering menghimpit akal yang sentiasa kubajai dengan kewajaran. Tidak kusangka sudah lama kurasakan kau terlahir dalam jasad, selama 18 tahun kau bersama… Cuma aku ragu, keraguan yang menjadi semak kepada daya hati dak mentaliti. Betulkah aku membajai dengan keihklasan atau penipuan. Seringkali masalah menghimpit diri hanya hati yang tahu. Seringkali mencari penyelesaian kepada masalah seolah-olah aku buta dalam terang. Tergamakkah aku untuk biarkan hati yang selama ini kuanggap diari perasaan. Kutahu hati kau juga menginginkan kebahagiaan. Maaf buat jasad yang sentiasa bersama kerana kebahagiaan masih belum kukecapi. Kadang-kadang manik jernih mengalir kerana kealpaan aku dan aku biarkan kau juga alpa. Dalam alam keremajaan meningkat dewasa aku seolah-olah tidak puas merasakan kebahagiaan. Aku tahu hati ini sarat dengan keegoan yang telah lama aku ciptakan. Aku mahu semua rasa ego itu hilang atas dasar kewajaran. Aku rasa tidak sepatutnya aku memendam rasa atas tulisan. Biar kau berkata aku turut serta dalam merealisasikan impian aku dan kau. Selagi kau meletakkan diriku dalam kewajaran. Allah sentiasa bersama dengan hati yang bersih. Aku ingin memiliki hati yang telus. Kendatipun aku tidak tahu kau bagaimana. Namun aku akan teliti untuk mencari jalan kalbu dan jasad yang lurus disinari cahaya Ilahi…
Doakanlah jangan aku saja berdoa jika kau tak turut serta. “doa dari hati lebih ikhlas kerana hanya jasad yang terlahir matlamat bukan kehadiran diri yang sebenar-benarnya dan kemahuan hakiki.”
2
Usia ku kini menjangkau 20-an, ada perubahan yang kini kurasakan pada mentaliti dan hati. Dari segi mentaliti kurasakan aku tidak seperti usia ku belasan tahun dulu. Mengapa? Aku dulu seorang yang serius jarang bergurau walaupun aku ini seoramg yang peramah. Hendak bergurau ikut masa dan keadaan. Kalau belajar aku fokus sepenuhnya. Kini segalanya berubah. Jika aku bergurau aduh... kadang-kadang menyakitkan hati sesiapa sahaja, itu pun seandainya aku fikirkan kembali kata-kataku. Rasa menyesal saling bertingkah pada akal dan sukma. Dulu kata-kata ku terjaga rapi. Bagaimana harus ku jadi seperti dulu. Insya’-Allah aku akan berubah. Hati ku kini tidak menentu. Soal agama yang ku pegang kukuh dari kecil akan ku jaga rapi tanpa terpalit akidah dan iman. Soal cinta? Itu yang menjadi persoalan. Aku sukakan seseorang tapi aku tak luahkan. Maklum saja aku ini seorang perempuan yang mengharapkan teruna datang mengucapkan…aku sering menolak apabila dia berbicara? Entah? Ingin saja kuluahkan,tapi apabila aku mengetahui cinta tanpa ikatan pernikahan adalah satu dosa… aku pinggirkan saja… walau aku rasa sudah tiba masanya… tapi hukum agama memang tidak sepatutnya aku langgar… kerna itu peraturan hidup bukan percaturan. Moga si dia faham, aku mengelak bukan bermakna aku menolak. Cuma aku masih mencari sinar keredhaan Tuhan. Adakah dia menungguku. Kadang-kala hati ku bimbang takut kehilangan. Tetapi apabila difikirkan kembali jodoh Tuhan yang menentukan. Moga seandainya jodohku telah tiba dia adalah sebaik-baik lelaki yang Allah anugerahkan untukku mencari jalan-Mu ya Allah.
3
Empat belas tahun telah berlalu. Kadang kala akalku terfikir kenapa umurku semakin menginjak dewasa? Aku lupa dalam dunia ini tidak ada yang kekal... kah kah kah... ketawa pada diri apabila mengenangkan kebodohan diri. Apabila kita bergelar budak memang menyeronokkan. Tambahan pula pada usia sebegini perasaan untuk bermanja memang tidak dapat dinafikan mantap dalam jiwa. Usiakuku empat belas tahun yang lalu masih kecil... 6 tahun. Emak dan ayahku amat menitik berat soal agama, jadi aku dihantarkan ke sekolah tadika Islam. Hari pertama aku ke sekolah tidak ada yang menakutkan malah aku rasa gembira, tambahan pula aku memang suka mempunyai ramai kawan. Terlalu banyak pengalaman aku di sekolah tadika walaupun hanya setahun aku tagihkan ilmu dari guru dalam pondok ilmu. Masih ku ingat apabila kami semua tidak dibenarkan lagi belajar di sekolah agama rakyat lalu kami semua dipindahkan ke surau Sungai Limau. Sewaktu sesi persekolan tamat kira-kira pukul 11 pagi ada seorang ustazah yang mengajar di sekolah tersebut pada sesi petang untuk sekolah agama datang berjumpa ustazahku. Dia memberitahu bahawa ada orang yang buang hajat tetapi tidak mencuci najis tersebut. Masihku ingat kami seolah-olah tidak dibenarkan belajar di situ lagi. Lalu kami terpaksa pindah ke pondok ilmu yang lain. Ada satu cerita yang aku rasa geram apabila difikirkan kembali. Kakakku pernah menyuruhku agar meminta kebenaran daripada ustazah melantikku menjadi ketua kelas. Aku yang waktu tu masih kecil tidak tahu apa-apa seperti lembu dicucuk hidung hanya mengikut kata-kata kakakku. Ermm permintaan ku ditunaikan. Waktu tu perasaan malu tidak wujud. Tapi sekarang rasa malu menjelma… hehehehe.
4
Ermmm… sudah lama rasanya aku tidak meninta kata dalam kamus hidupku… aku sekarang adalah aku hari ini…. Aku yang semalam adalah coretan sejarah silam… entah mengapa aku pun tidak tahu, kenapa aku suka mengaitkan diriku dengan sejarah. Mungkin minat terhadap sejarah telah kembali.
Apabila diimbau kisah-kisah lalu, sewaktu di sekolah. Guruku sering bertanya kepada kami semua. Soalannya mudah saja iaitu mengenai cita-citaku… jawapannya mudah saja…. kerana aku terlalu minat dalam bidang guaman. Tapi sekarang beginilah aku, tidak menjadi peguam. Tapi menjadi peamatah kata orang lain. Tidak kiralah kaum keluargaku, rakan-rakanku, orang sekelilingku dan pelajar-pelajarku. Opssss pelajar? Aku sudah mempunyai pelajar. Tapi bagaimana aku menjadi seorang guru? Kehidupan seseorang sememangnya tidak dapat diduga. Cita-citaku ingin menjadi peguam sewaktu di sekolah rendah. Apabila aku mula menapak ke sekolah menengah… cita-cita telah mula berubah. Aku mula menyedari minat ku dalam bidang sastera yang agak mendalam. Sejak tingkatan 1. bagaimana? Untuk mendalami diriku lebih dekat biarlah aku cerita dari mula….
Bagiku sendiri, aku tak lah pandai… nak kata bodoh pun bukan… Cuma kurang pandai kottt…. Sewaktu aku di tingkatan 1 aku suka melihat kakakku menelaah matapelajaran kesusateraan Melayu… sejak itulah minatku dalam bidang sastera semakin memuncak. Tapi macapada ini, lebih mementingkan sains dan teknologi. Apabila orang bercakap tentang bulan dan bintang, aku semakin ke belakang, apabila orang berkata-kata tentang angkasawan, aku teringatkan sasterawan. Dimanakah peluangku?
Apa-apa pun aku bersyukur, kerana Allah masih sayangkan aku. Allah memberi peluang kepadaku untuk bekerja. Haaa…. Haaa… jangan kata sekarang mudah mendapat kerja… tidak kena cara alamatnya belakang rumah jadi paya…
5
Apabila kita bergelar sebagai seorang pelajar, ia menuntut ketabahan, keberanian dan pengorbanan. Ketabahan dalam menghadapi pelbagai rintangan perjuangan dalam mencari ilmu, keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru, pengorbanan dalam pengagihan masa yang terlalu tersasar ke arah hiburan. Dalam kata lain bukanlah tidak boleh berhibur, tetapi berhiburlah sekadar mencari ketenangan, melepas ketegangan tetapi bukan bertujuan keseronokan berpanjangan. Apabila seseorang begitu gembira dibuai keseronakan dia akan lupa pada dugaan yang menimpa, menuntut ketabahan dan pengorbanan. Keseronokan tidak memerlukan ketabahan dan keberanian. Keseronokan hanyalah mimpi di siang hari. Sedangkan ketabahan dan pengorbanan membuahkan kemanisan berpanjangan.
Ketabahan juga perlu dalam bidang pekerjaan. Dalam kehidupan kita tidak akan dapat lari daripada hujan yang menimpa diri. Dalam pekerjaan rasa tanggungjawab menggugat erti ketabahan. Ketabahan dalam melakukan tugas. Ketabahan dalam menghadapi kharenah pekerja bawahan, ketabahan dalam menghadapi kritikan pihak atasan. Ketabahan dalam mendidik orang lain dan diri sendiri. Kenapa diri sendiri? Tonjolan peribadi mencerminkan sikap dan diri seseorang. Cara kita bercakap, berjalan, berkomunikasi, makan dan sebagainya. Semua itu akan dinilai oleh orang sekeliling kita. Oleh itu, sebelum kita mengenali orang biarlah kita kenal diri kita dahulu. Sebelum mendidik orang biarlah kita mendidik diri dahulu.
Manusia yang berjaya ialah
manusia yang berjaya mendidik dirinya sendiri
Keberanian perlu ada dalam diri semua manusia, tua mahupun muda. Golongan muda termasuklah bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa. Golongan tua pula ialah sekelompok manusia berumur 40-an dan ke atas. Kenapa saya menyentuh golongan 40-an? Hal ini kerana, untuk menentukan sikap seseorang kita lihatlah golongan yang berumur 40-an, seandainya tabiinya masih tidak berubah seperti sikapnya sewaktu di usia remaja, ini bermakna begitulah sikapnya selama-lamanya. Kenapa golongan bayi yang tidak tahu apa-apa juga memerlukan keberanian? Berani mencuba sesuatu itu yang perlu dihadapi oleh golongan bayi. Jika mereka tidak mencuba untuk meniarap tidak mungkin mereka boleh merangkak, jika mereka tidak berani mencuba untuyk merangkak tidak mungkin mereka berani untuk berdiri dan lain-lain. Dalam aspek ini sesuatu yang dilakukan oleh bayi menuntut keberanian. Kenapa dikatakan mereka ini berani? Persoalannya dalam proses merangkak berapa kali mereka tersembam, dalam usaha mereka berdiri berapa kali mereka terjatuh, dalam usaha mereka berjalan berapa kali mereka terduduk. Tetapi mereka tetap berani mencuba. Apabila usia mereka setaraf orang dewasa, tidak semua dalam kalangan mereka berani. Lihat sahaja dunia hari ini, berapa ramai orangkah yang berani mencuba sesuatu tanpa disuruh. Sikap berani yang suatu ketika dahulunya terbaja dalam diri kini gugur satu persatu. Persoalannnya kenapa hal ini berlaku? Faktor persekitaran? Motivasi kurang? Antara dua persoalan ini faktor yang manakah harus diutamakan?
Orang yang berani tidak akan mengira berapa dalamnya lautan,
tetapi mencari akal untuk menyeberangi lautan
Semua orang perlu berkorban untuk melakukan sesuatu. Merealisasikan sesuatu impian menuntut sebuah pengorban. Tanpa pengorbanan, maka akan tertangguhlah sesuatu pekerjaan. Seseorang yang berasa lapar, perlu mencari makanan. Dalam hal ini ia menuntut pengorbanan masa. Meluangkan masa untuk mencari lauk pauk dan memasak. Tapi, sekarang semuanya ada di kedai? Tidak terfikirkah untuk pergi ke kedai juga satu pengorbanan. Dari segi wang, masa dan sebagainya. Nampaknya dari perkara kecil hinggalah perkara besar menuntut pengobanan. Tetapi, manusia tidak nampak semua itu. Kenapa? Ini kerana, kita telah terbiasa untuk melakukan perkara tersebut. Jadi kita tidak nampak ia satu bentuk pengorbanan tetapi satu keperluan. Sedarkah kita? Jadi, kenapa kita harus merungut untuk melakukan sesuatu perkara baru yang menuntut pengorbanan, sedangkan kita tahu lama-kelamaan ia menjadi suatu kebiasaan?
Pengorbanan menuntut ketabahan dan keberanian,
tetapi manusia sering terfikir sampai bilakah ia harus berkorban?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan